Teman Blog Tintahatiku

21 November 2010

rencah satu Malaysia


Saat itu bergema lagi
Menggamit rintihan bahasa duka
Dalam cengkaman penjajah durjana

Menggenggam sekelumit nekad
Menongkah derita
Hujan peluru adalah irama luka membakar jiwa
Tangisan si kecil dan esakan hawa mengheret pilu

Resah berkejar gelora ke samudera merdeka
Anak muda bertarung nyawa
Di medan merah bertempur gagah
Menjulang tenaga pewira
Memburu kebebasan

Duduk.....duduklah di situ
Kaku.....biarkan kaku usah terburu
Pejam...jangan kau pejamkan mata hatimu
Diam.....usah lagi bicara dusta
Dengar....sememangnya ku ingin kau mendengar
Mengerti.....seharusnya kau memahami
Tentang sejarah yang tak kita peduli...

Kiranya langit itu biru
Sebenarnya jiwa mereka kelabu
Tiada lagi senyum tawa
Hanya genangan air mata
Hingga kering masih terlukis
Pada wajah seribu hiba
Menagih pujukan hati
Meniti hari-hari ngeri
Tapi kini
Kita bisa melihat
Anak-anak kecil ketawa
Bukan lagi tangis duka
Kita bebas mengatur langkah
Bukan lagi dirantai merah

Hari ini segalanya milik kita
Usah dihitung manik-manik putih yang luruh
Pasti kelabu bertambah haru
Tapi jerih luka mereka
Pasti dilupa jangan
Biar layu pucuk tualang
Biar rumput jadi semalu
Sawah bendang jangan tergadai

Dari lidah fikir menteri perdana
Gagasan rakyat puluhan juta
Kita mulakan langkah baru
Mengiringi visi tak terbatas
Dari mata jiwa seorang wira bangsa
Demi tanah tumpah darah
Mendukung misi menggapai cita

Kita memegang satu matlamat
Padanya berpadu erat
Satu rumpun memasang hasrat
Satu suara bulat
Satu tekad tercegat
Satu sama muafakat

Kita melangkah sama berderap
Kita menyusur sama selinap
Kita menongkah sama berharap
Kita mara sama berarak

Hasrat terbina berpasak bangsa
Menuntut segala kudrat yang ada
Azam berzaman terus menyala
Berganding bahu langkah bersama
Membuka luas mata dan minda
Menyusur kemodenan arus dunia
Jangan bangsa mudah terpedaya
Walau diterjah badai pesona
Terpahat sudah di dalam jiwa
Takkan melayu hilang segala

Langkah kita usaha berganda
Memikul amanat menjinjing keringat
Di bahu kita semuanya wasiat
Tulisan merah berkeramat

Kitalah penyambung warisan berzaman
Kita gubahkan menjadi pedoman
Kerana sejarah telah bercerita
Telah banyak luka dan derita
Apalagi nyawa yang terkorban merata

Kitalah rakyat malaysia
Pewaris bangsa merdeka
Darah pewira berkurun saka
Takkan mengalah meredah masa
Berjuang bagai pahlawan satria
Setapak melangkah terus mara

Ayuh bangsa dan segala yang ada
Usah kita berkira rupa
Tak perlu kita memilih bahasa
Kita pupukkan ketabahan
Menghadapi dugaan melanda
Kita lenyapkan nafsi yang berselimut mewah
Merapat jalinan saudara sebangsa

Di daerah kota janganlah melupa
Di desa yang kurang segala
Yang di atas usah menabur dusta
Yang di bawah usah diperhamba

Yang di atas biarlah redup memayungi
Yang di bawah biarlah sama berusaha
Kanan dan kiri ramah bersapa
Jadikan budaya jauhi sengketa

Dunia kini bersopak derita
Timur dan barat melambung kata
Di sana sini menghasut mengata
Siang derita malam sengsara
Jerit tangis menjadi bahasa
Debu peluru menjadi santapan luka
Nyawa tiada lagi berharga
Mati relai bersepah merata
Laksana wayang mainan kuasa
Begitulah boleh diumpama
Andai harta dan darjat beraja
Hilanglah damai berganti gelora duka

Hari ini bersyukurlah kita
Berpijak di bumi sentosa
Masih bebas umpama langit luas terbuka
Makmur berpadu adunan perdana
Pemimpin bijaksana lagi berjasa
Isi negara sama dicakna

Para ilmuan turut bersama
Menyusur reba tunduk berisi
Mendongak tinggi merendah hati
Mengukur hasrat pada padanan

Berunjak kasih serta kesetiaan
Rukun negara jadi pegangan
Bertatasusila jadi amalan
Adil bertindak menegak hak
Petah lidah jujur bermadah
Berani menegah bicara bercanggah

Tidak helang terbangnya rendah
Bukan belang taringnya patah
Bukan sebarang cepat melatah
Walau sinar intan berlian bertatah
Jangan bangsa mudah beralah
Walau jasad bergelimpangan rebah

Barang yang benar usah pertikai
Bertahan hujah para bijak pandai
Jangan sampai maruah tergadai

Mata dunia menyaksi segala
Tentang retorik dan boneka
Tentang birokrasi dan kuasa
Tentang manusia bermuka neka

Semuanya kerjaan yang cerdik belaka
Tidak bersangsi megah berasa
Tunjuk hebat lagi keparat

sedunia menghambur berita
Halnya khabar durjana
Ada kata dalam kata
Ada tipu dalam tipu
Celakalah kita dirundung dusta
Binasalah kita diamuk sengketa

Berjuanglah
walau pulang jasad ke tanah
Bermulalah kejayaan yang hakiki
Selepas berhempas pulas
Menghidupkan watak dipentas terbuka

Buruk lidah kerana kata
Buruk kata kerana amarah
Buruk kita kerana dusta
Buruk hati kerana nista
Buruk bicara buruk bahasa
Buruk bahasa buruklah bangsa
Buruk bangsa buruklah semua

Usah ditudingkan telunjuk lurus
Lihatlah kelengkeng berkait jua
Kalau bernas akal dan nilainya
Bahasakan bicara juara
Muafakat musyawarah selesai segala

Bukan telagah tunjuk megah
Bukan berarak menunjuk marah
Bukan berpuak tunjuk kuat
Bukan berkapak tunjuk hebat

Duduk semeja sama berpakat
Sama-sama menghambur hasrat
Berlandaskan hukum dan syarak
Dalam Islam bersyariat
Sama bincang dapat manfaat
Agar hasilnya suara yang bulat

Cantaskanlah iri-iri yang berputik
Lenyapkanlah ragu yang membuntu
Leraikanlah hasad yang berlingkar
Padukan semangat teguh bersatu
Hasrat yang satu isinya beribu
Impian beribu milik insan berjuta


Gempita melontar suara
Gegar hingga ke hujung muara
Menjulang semangat membara
Berdiri megah di pentas wira

Ayuh tebus maruah bangsa
Membela nasib kita semua
Di tanah yang berbaur hanyir darah
Dari liang derita pejuang yang rebah

Sengsara yang pernah tersimbah
Warnanya merah likat berdarah
Darah yang sama merah
Yang mengalir dalam tubuh kita

Seumpama sebuah padang terbuka
Kita tegakkan rumah bangsa
Dengan kudrat sepakat
Yang kita himpunkan berdekad lama
Dengan semangat yang menyala

Tiada lagi sangka meronta
Tahu jirannya sesama sebangsa
Berjabat sapa bersenyum mesra
Bertegur sentiasa memugar persaudaraan
Di situlah kita kan mengenal ertinya kawan
Ertinya damai alam sejagat
Sama mengerti sama berpakat
Menjaga ukhwah penuh berkat
Tiada muslihat yang tersirat
Perhubungan bertambah erat

Malaysia bumi kita
Selagi jasad tak lucut nyawa
Jangan kita telingkah sesama
Satu malaysia kita bersama
Di dalamnya melayu india cina
Juga banyak lain-lainnya

Kalau gulai kawah yang sama
Asam garam sama merasa
Sesama kita menabur budi
Sesama kita mencurah bakti

Walau terlingkup langit dan bumi
Jangan mengkhianati sesama sendiri
Jadikan pedoman segala yang jadi
Jangan sejarah berulang lagi


011010
ini adalah puisi terpanjang yg pernah aku buat...patriotik lg..hoohoho....pening pale aku...dah la patriotik, xmasuk jiwe la....huhuhuhu....anyway, dh siap.... hehehe....semua puisi2 baik2 ni aku wat untuk program Sejuta Puisi Satu Malaysia.....sbnrnye byk lg yg kne wat...disebabkan handwriting ondaspot...so, xdan nk copy...huhuhu... Layannnnnnn.....

No comments:

Search This Blog