Teman Blog Tintahatiku

02 November 2016

Tak semanis kenangan

Mendung pagi ni. Aku bersahaja bersandar di kerusi boleh laras hasil ciptaan ayah. Kerusi kereta terbuang sahaja. Mungkin sudah ada bahagian rosak namun bagi ayah itu barangan tidak sia-sia. Ayah tahu bagaimana memanfaatkan kerusi buruk itu. Dia menjadikan kayu sebagai tapak. Hasilnya lebih canggih dari kerusi kereta proton! Boleh laras depan belakang tinggi rendah. 

Angin sejuk menderu sesekali menyapa lembut. Ralit mengupas buah dokong relai tak bertangkai. Manis! Buah hujung julai yang masih bersisa. Alhamdulillah, rezeki masih ada untuk minggu ini. Barangkali itu tandanya musim buah akan berakhir untuk tahun ini. Ah, liur untuk makan buah baru ada sesudah buah semakin bersisa. Semoga masih berkesempatan untuk tahun-tahun seterusnya.

Sejam berlalu. Langit putih semakin carik diintai mentari. Awan biru menampakkan diri terlihat indah. Angin menyapa pepohon nyiur melambai semakin nyaman terbelai rasa. Ah, ada rindu terdetik!

 Lambaian malar hijau pohon Gemungga megah di laman bonda mengingatkan aku kepada seorang pensyarah berbangsa india. Dr. Suppiah. Selamat pagi sahaja yang dia akan ucap walaupun sudah larut malam. "Durjana" itu bahasa termanja baginya.

Langit semakin rabak diterjah mentari. Dan aku diterjah wajah-wajah sahabat seperjuangan. Apakah khabarnya sahabat-sahabat sekalian yang tentunya seperti aku. Merencana dan mentadbir hidup menjalani waktu agar tidak tersia. Setiap senyum tawa yang sempat kurakam indah dalam ingatan. Gurau senda menjadi seloka mencuit rasa. Kenangan itu bagaikan hiburan kala rindu.

Dan buat semua yang bernama sahabat, semoga kalian juga sama menikmati nyamannya udara dari pepohon ingatan yang menghijau. Kiranya angin menyapamu damai, anggaplah itu kiriman dariku melaluiNya "salam sejahtera ke atasmu duhai sahabat".

Manisnya buah dokong ini tak semanis kenangan yang menjadi ingatan! 😘😘😘

Tutur bonda buat arjunaku

Dengarlah duhai anak
Saat tuturku berbahasa mudah
Kerna takkan selalu ada bonda
Memujuk tangis air matamu

Kuizin kau bermain dihalaman kasih ini
Tetap kau harus ingat
Langkahmu bukan sejengkal
Hari depan menanti
dunia ini bermacam akan kau kenal

Kan ada pada ketika
Kau berlari dan tersungkur
Meski kau dihenyak dipijak rapat
Usahakan bangkit meskipun sakit
Usah menyerah biarpun parah
Keramat bonda setia kusemat
Pada jati asal darah dan semangat

Padamu arjuna bonda
Helaan nafas denyut nadiku
Setinggi apa namamu terjulang kelak
Di kaki ini tetap syurgamu bertapak
Agar kau tak lupa jalan pulang ke akhirat...

Hasmad
270716

Search This Blog